KANGAR – Umat Islam yang mempunyai kepakaran dalam bidang kecerdasan buatan (AI) mempunyai peranan besar dalam memastikan perisian teknologi itu menepati nilai agama, akhlak dan budaya negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penguasaan dalam bidang itu penting kerana negara tidak mahu menggunakan AI yang ditentukan oleh orang asing.
“Kalau kita tidak kuasai AI, yang akan tentukan (teknologi itu) adalah orang lain iaitu orang asing, orang Barat, jadi kita harus kuasainya supaya nilai AI itu kita tentukan,” katanya ketika berucap pada Perkampungan Sunnah Siri ke-9 di Masjid Alwi, di sini hari ini.
Katanya, kepakaran perlu terus dipertingkatkan susulan pengumuman Microsoft untuk melabur sebanyak RM10.5 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang.
“Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella datang Malaysia dan setuju labur RM10.5 bilion. Saya tanya kepada dia bagaimana tentang nilai dalam sistem kita iaitu agama, budaya dan akhlak kita. Kita tidak mahu ikut AI yang ditentukan oleh Barat.
“Jawapannya kepada rakyat Malaysia, kepada umat Islam yang kuasai bidang itu untuk tentukan perisian AI ikut iklim dan persekitaran serta kefahaman kita. Nilai agama, akhlak dan moral itu juga masuk dalam pengertian dan penafsiran AI,” ujarnya.
Anwar seterusnya menyeru kepada setiap rakyat untuk menguasai AI kerana ia bakal menguasai semua bidang termasuk pengurusan kerajaan, ketenteraan, polis, imigresen dan pertanian.
Beliau pada masa sama berkata, penguasaan AI dalam negara perlu terus dipertingkatkan termasuk memupuk minat pelajar dalam bidang matematik dan sains.
“Namun, kenyataan di Malaysia sekarang, minat anak Melayu terutama dalam bidang sains dan matematik menurun dengan kita juga kekurangan jurutera kira-kira 30,000 orang,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE