JAKARTA – Seorang wanita yang baru bersalin terpaksa diusung oleh penduduk kampung sejauh 1 kilometer kerana jambatan di kawasan mereka hampir runtuh, lapor portal berita Okezone semalam.
Pihak ambulans terpaksa memberhentikan kenderaan dan menurunkan pesakit wanita itu di hadapan jambatan sebelum dibantu oleh penduduk tempatan.
Menurut penduduk dikenali sebagai Zhon Kennedi, tiada laluan lain ke kampung mereka selain menggunakan jambatan tersebut.
Mereka terpaksa mengangkat wanita itu menggunakan pengusung dan melalui jambatan yang kelihatan nazak.
“Jambatan ini ‘nazak’ sejak tiga tahun lepas dan ia membimbangkan kami semua kerana inilah satu-satunya laluan utama untuk keluar dari kampung,” kata Zhon.
Kejadian dilaporkan berlaku di Padang Lawas Utara, wilayah Sumatera Utara. – AGENSI