fbpx

Ajal pelajar UiTM, kereta rempuh belakang lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelajar UiTM Pasir Gudang, Johor maut apabila kenderaan dinaiki merempuh belakang sebuah lori di kilometer 242.6, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara), pagi tadi. - IHSAN POLIS

REMBAU – Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pasir Gudang, Johor maut selepas kereta dinaikinya merempuh belakang lori di kilometer 242.6, Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini pagi tadi.

Kejadian pada pukul 5.15 pagi itu mengorbankan Muhamad Alif Hafify Muhamad Hafiz, 21. Mangsa yang merupakan penumpang hadapan dan berasal dari Sungai Besar, Selangor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed, nahas membabitkan kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki tiga pelajar seuniversiti dan lori jenis Hino.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri.

“Akibatnya pemandu kereta yang berusia 21 tahun tidak cedera, manakala penumpang depan maut. Penumpang belakang pula dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk rawatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mayat Muhamad Alif Hafify dihantar ke Unit Forensik, Hospital Rembau untuk dibedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI