LONDON – Pelumba Itali, Francesco Bagnaia percaya Marc Marquez mampu menyesuaikan diri dengan baik dengan pasukan utama Ducati sekiranya bekas pelumba Honda itu dinaikkan pangkat tahun depan.
Hujung minggu lalu, Bagnaia mempersembahan aksi terbaik di Grand Prix Sepanyol apabila menyekat Marquez untuk mencipta kemenangan pertamanya bersama Gresini Racing selepas bertarung cukup hebat sepanjang perlumbaan di Jerez.
Bagaimanapun, Bagnaia tidak pasti sama ada Marquez mampu menjadi rakan sepasukannya kerana dia menyerahkan segala keputusan kepada pasukannya.
Ketika ini, Marquez tidak berdepan masalah untuk menguasai jentera Desmosedici apabila melakar podium kedua berturut-turut pada perlumbaan Sprint di Portugal dan Amerika Syarikat sekali gus berpeluang untuk menyertai pasukan kilang Ducati pada musim 2025 nanti.
“Marquez telah bersama Honda kira-kira 12 tahun dan saya pasti dia boleh menyumbang sesuatu kepada pasukan rasmi seperti Ducati. Tetapi pada masa ini kami sangat kompetitif.
“Kami memberi perhatian kepada setiap butiran dan berada pada tahap tinggi, jadi Marquez akan menyesuaikan diri dengan baik terutama situasi seperti ini,” katanya.
Bagnaia telah menandatangani kontrak baharu selama dua tahun bersama Ducati sekali gus mengekalkan kedudukannya dalam pasukan kilang sehingga akhir kempen 2026.
Situasi itu menyaksikan kedudukan Enea Bastianini bersama Ducati dalam bahaya ketika kontraknya bakal berakhir hujung musim ini, manakala hasrat Jorge Martin untuk menyertai pasukan utama juga mungkin tidak kesampaian. – AGENSI