fbpx

KPDN ambil tindakan premis jual produk label ‘No Palm Oil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Produk dengan logo ‘No Palm Oil’ yang dirampas KPDN di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengambil tindakan terhadap kedai serbaneka di Presint 3 di sini kerana disyaki menjual produk makanan yang tertera perkataan ‘No Palm Oil’.

Serbuan telah dilakukan oleh penguat kuasa KPDN Putrajaya selepas menerima aduan awam berhubung pembungkusan produk berkenaan semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, hasil pemeriksaan pasukan menemui produk aiskrim pelbagai perisa yang mempunyai kenyataan ‘No Palm Oil’.

“Kesemua produk aiskrim tersebut telah disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan berjumlah RM897.60.

“Kes akan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk Keluaran Kelapa Sawit Dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun.

Katanya, perundangan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 telah mula dikuatkuasakan bermula 15 Mac 2022.

“Berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 15 Mac 2022 sehingga 2 Mei 2024 di bawah perundangan ini, sebanyak 5,057 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak empat kes telah didapati,” jelasnya.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat pengimport, pengedar, penjual dan pihak berkaitan yang menjual produk yang diimport dari luar negara yang tidak mematuhi perundangan berkaitan.

Jenis kesalahan meliputi pernyataan berbentuk ungkapan atau petunjuk yang mungkin mendiskriminasi atau memboikot apa-apa keluaran atau barang-barang yang melibatkan komoditi utama negara iaitu minyak kelapa sawit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI