IPOH – Berasaskan kaedah kehakiman Islam, tuduhan menghina agama Islam terhadap pengurusan pasar raya KK Mart adalah tidak terbukti, menurut Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.
Katanya, mengikut kaedah kehakiman Islam, satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya atau alqasdul jinaei (criminal intent).
Tambah beliau, elemen itu tidak boleh dibuktikan melalui syahadah atau direct evidence dan ia hanya boleh dibuktikan dengan pengakuan atau melalui kaedah pembuktian qarainul ahwal (circumstantial evidence).
“Daripada penjelasan dibuat oleh pihak pengurusan KK Mart dan permohonan maaf secara terbuka terhadap insiden yang berlaku serta penjelasan dibuat kepada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), ternyata kewujudan rukun alqasdul jinaein ini tidak dapat dibuktikan.
“Dengan demikian, berasaskan kaedah kehakiman Islam, tuduhan menghina agama Islam terhadap pengurusan KK Mart tidak terbukti.
“Saya berkeyakinan pernyataan ini adalah amanah yang wajib disampaikan sebagaimana yang diperintahkan dalam surah An-Nisaa ayat 58,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Penjelasan itu dibuat susulan isu stoking yang dikatakan terdapat di rak jualan pasar raya tersebut yang telah melukai masyarakat orang Islam.
Ketika ditanya tentang kesan kenyataan beliau kepada kes berkenaan telah dibicarakan di mahkamah, Mufti Perak itu berkata, beliau bercakap atas prinsip kehakiman Islam dan beliau tidak mencampuri urusan mahkamah.
Berkenaan kenyataan itu dibuat agak lewat sejak isu itu hangat, beliau menerangkan ini kerana kajian dan rujukan perlu dibuat terlebih dahulu. – KOSMO! ONLINE