BUKAN sekadar mengukuhkan nama di persada hiburan Indonesia, Kangen Band dan Bagindas antara penggiat muzik yang mempunyai kelompok peminat tegar di Malaysia.
Tidak hairan apabila gabungan dua nama popular itu dijangka mampu meraih sambutan luar biasa terutama ketika vokalis Bagindas iaitu Andra disatukan dalam sebuah konsert di Kuala Lumpur tahun lalu.
Bertitik tolak dari situ, setahun menggegarkan Zepp KL, Kangen Band disatukan pula dengan seluruh anggota Bagindas menghiburkan peminat tempatan dalam persembahan mega di Zepp KL.
Reputasi ditunjukkan kedua-dua penghibur itu mendorong penganjur menyatukan mereka menerusi Konsert C.I.N.T.A Kembali Pulang Live in Kuala Lumpur 26 Mei ini.
Penganjur, Backdoor Entertainment Rosdi Azwan berkata, konsert yang menggandingkan dua nama band terbabit menjanjikan kelainan bagi penonton di Malaysia.
“Kemeriahan konsert terdahulu mencipta fenomena di Asia Tenggara yang memukau dan menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat muzik dan pengguna media sosial.
“Senario yang membuktikan sokongan tidak berbelah bagi penggemar muzik mendorong pihak kami mengundang mereka lagi.
“Apatah lagi Kangen Band dan Bagindas dijangkakan memberi kenangan terindah dinanti-nantikan,” katanya.
Dijangkakan, persembahan tersebut bakal berlangsung selama dua jam dengan rangkaian seleksi malar segar sejak penubuhan kumpulan itu hampir dua dekad lalu.
Jika Kangen Band ditubuhkan pada 2005, Bagindas pula membina nama dalam dunia hiburan Indonesia empat tahun kemudian.
Bersandarkan perancangan, Kangen Band dijangka membawakan rangkaian seleksi hit seperti Pujaan Hati, Jangan Bertengkar Lagi, Selingkuh, Cinta Sampai Mati dan Kehilangan Mu.
Selain Andika Maesa selaku vokalis, kumpulan asal Lampung itu turut membariskan Dodhy Hardiyanto, Rustam Wijaya, Novri Azwar dan Muhammad Bari dan Alfarizi.
Manakala Bagindas pula turut menjanjikan persembahan sama hebat dengan memilih dendangan ‘berhantu’ termasuk Suka Sama Kamu, Cinta serta 100% Cintaku.
Bagi Rosdi, sebagai suntikan kelainan, aspek teknikal, penataan cahaya serta pemilihan latar pentas menjadi fokus utama selain persembahan yang dinantikan ramai.
Selain persembahan hebat Kangen Band, Bagindas juga turut menampilan DJ Rycko Ria selaku pencipta muzik remix bagi semua lagu Bagindas.
“Kali ini, kami bawakan mereka semula di atas satu panggung yang sama dalam gelombang galau dan melodi remix yang memukau.
“Satu fakta konsert ini adalah Kangen Band akan menyanyikan 18 lagu dan Bagindas X DjRycko bakal menyampaikan 12 lagu berkonsepkan muzik remix.
“Ini seperti membawakan dua elemen muzik berbeza kali seterusnya mengukir satu lagi konsert fenomena Asia di Malaysia,” katanya.
Tidak hairan, lagu yang pernah dihasilkan dua band ini masih menjadi siulan peminat dan pencinta muzik sehingga kini.
Akui Rosdi lagi, tidak keterlaluan jika dikatakan, karya serta muzik mereka terus hidup walau hampir dua dekad berjuang dalam industri hiburan. – KOSMO! ONLINE