fbpx

Jenayah komersial turun, kerugian meningkat catat lebih RM866 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mencatatkan rekod sebanyak 10,106 kes jenayah komersial bermula 1 Januari hingga 28 April ini berbanding 10,931 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah kes dalam tempoh tahun ini bersamaan purata sebanyak 85 kes sehari dan ia juga menunjukkan penurunan sebanyak 8.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Bagaimanapun, nilai kerugian setakat minggu ke-17 tahun ini menunjukkan peningkatan iaitu lebih RM866.24 juta sementara tahun lalu mencatatkan kerugian RM 534.39 juta.

“Nilai kerugian mencatatkan kadar peningkatan sebanyak 62.1 peratus setakat 28 April lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Ramli.

Mengulas lanjut dari aspek pertuduhan, beliau berkata, sejumlah 4,880 kertas siasatan telah berjaya dituduh di Mahkamah sepanjang tempoh sama.

“Jumlah ini adalah bersamaan 48 peratus daripada jumlah kertas siasatan yang dibuka pada tahun 2024.

“Peratusan pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 4,598 pertuduhan atau bersamaan 42 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan orang ramai agar menyemak portal Semakmule yang berfungsi sebagai platform untuk membuat semakan nombor akaun bank individu dan syarikat yang terbabit dengan aktiviti penipuan.

“Sehingga kini, portal ini menyenaraikan sebanyak 198,125 akaun bank milik individu dan 315 akaun bank milik syarikat.

“Daripada jumlah tersebut, kita berjaya menahan suspek terlibat dan sebahagiannya telah dituduh di mahkamah,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI