DOHA – Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) Indonesia, Shin Tae-yong mengakui Iraq layak untuk menang selepas menyaksikan pasukannya tewas 1-2 dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala Asia B-23 2024 awal pagi tadi.
Sebagai rekod, harapan skuad Garuda Muda untuk mencipta sejarah layak ke pentas Olimpik secara automatik tidak kesampaian dan akan mengharungi aksi playoff ke temasya Sukan Olimpik 2024 menentang wakil Afrika, Guinea di Paris pada 9 Mei depan.
Kata Shin Tae-yong, jaguh Asia Barat itu memiliki kualiti pemain yang lebih baik selain pasukannya juga agak kepenatan sekali gus beraksi pada bawah tahap sebenar.
“Saya rasa Iraq layak untuk menang dan pada aksi kali ini, kami bermain di bawah tahap sebenar. Selain itu, saya anggap pemain-pemain utama kami sudah kepenatan kerana kita gunakan kesebelasan yang sama pada semua perlawanan.
“Situasi berbeza dengan Iraq yang memiliki kualiti pemain yang setara tidak kira kesebelasan utama ataupun tonggak simpanan,” katanya.
Pada aksi di Stadium Khalifa itu, Indonesia berjaya meraih gol menerusi ledakan Ivar Jenner manakala Iraq mendapat jaringan hasil penyudah Zaid Tahseen dan Ali Jasim dengan saingan terpaksa ditentukan pada masa tambahan. – AGENSI