PETALING JAYA – Bekas kekasih gelap penyanyi Aliff Aziz, Sarah Yasmine tidak terkesan dengan kenyataan lelaki itu yang mengucapkan selamat tinggal kepadanya.
Menurut Sarah, 24, pelantun lagu Sayang Sayang itu pasti menyimpan rasa benci terhadap dirinya sehingga sanggup menamatkan hubungan mereka dalam sebuah podcast semalam.
“Bila dia cakap ‘goodbye’ saya okey sahaja sebab saya cakap dulu pada 29 April dalam DM (mesej langsung) menerusi Instagram.
“Mesti dia benci saya sebab rasa saya mahu kenakannya bersama Bella. Kononnya saya tolong Bella,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Dalam masa sama, Sarah yang mahu mendedahkan lebih banyak ‘rahsia’ terpaksa mengunci mulut berikutan Aliff telah memfailkan saman terhadapnya.
“Sebenarnya, saya tidak boleh keluarkan apa-apa kenyataan buat masa sekarang kerana sudah dapat perintah mahkamah Singapura untuk tak melawan Aliff dan buat sebarang hantaran dalam Instagram.
“Saya juga dilarang bercakap apa-apa untuk tolong Bella bagi menghormati perintah mahkamah,” kongsinya lagi.
Semalam, Aliff mengucapkan selamat tinggal kepada Sarah selepas wanita itu mendedahkan mengenai kecurangannya.
Aliff juga mengakui tidak percaya dan mempersoal tindakan Sarah yang tergamak membuka aib perbualan peribadi kepada umum.
Terdahulu, nama Sarah menjadi sebutan ramai selepas mengaku sebagai kekasih gelap Aliff.
Ibu tunggal dua anak itu turut mengejutkan orang ramai dengan memuat naik puluhan tangkap layar perbualan WhatsApp wanita bernama NRF iaitu Ruhainies dengan Aliff yang membincangkan pelbagai perkara termasuk kes khalwat mereka dan komplot menjatuhkan Bella. – KOSMO! ONLINE