fbpx

Cuaca panas: Murid, pelajar sekolah Terengganu dibenar berbaju T

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU – Semua murid dan pelajar sekolah di Terengganu diberi kelonggaran memakai baju T ke kelas berikutan cuaca panas mencecah 40 darjah Celcius yang sedang melanda negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Jelani Sulong berkata, kelonggaran etika berpakaian terbabit turut diberikan kepada pelajar yang menetap di asrama sekolah.

“Buat masa ini, murid dan pelajar sekolah di Terengganu dibenarkan memakai baju T bagi memberi keselesaan belajar pada musim panas ini selain mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Pengurusan sekolah juga diingatkan agar tidak mengadakan sebarang aktiviti luar kelas sewaktu kebanyakan kawasan di negeri ini sedang dilanda cuaca ekstrem dengan suhu harian antara 37 hingga 40 darjah Celcius pada masa ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan lima kes strok haba dan kelesuan haba disebabkan cuaca panas termasuk seorang melibatkan pelajar sekolah telah dilaporkan berlaku di Terengganu sejak dua bulan lalu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong menasihatkan orang ramai agar minum secukupnya, memakai pakaian nipis dan keluar rumah dengan bertopi dan berpayung bagi mengurangkan risiko implikasi cuaca panas.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya memberitahu lima daerah di Pantai Timur termasuk bandar raya ini dan Besut dijangka menerima amaran gelombang haba dengan suhu maksimum harian mencecah 40 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut sehingga lusa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI