KOTA KINABALU – Seorang bekas wartawan akhbar tempatan menjadi penderma organ pertama di Sabah pada tahun ini.
Mendiang Kriscy Limjoon, 43, mendermakan sepasang mata atau kornea selepas meninggal dunia akibat masalah kesihatan baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr. Asits Sanna, berkata, pihaknya dimaklumkan keluarga mendiang mengenai hasrat untuk menderma organ bagi membantu pesakit lain yang memerlukan.
“Hasil penilaian mendapati hanya mata yang masih sesuai untuk didermakan dan pihak keluarga bersetuju meneruskan hasrat murni itu.
“Sepasang kornea yang didermakan juga berjaya ditransplan dan membantu memulihkan penglihatan dua pesakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asits menyatakan pendermaan organ dan transplan kepada pesakit yang menerima organ mendiang dilakukan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) baru-baru ini.
Asits berkata, pihak keluarga menyifatkan mendiang sebagai seorang yang berhati murni, periang tetapi tegas dalam menjalankan tugas selain suka membantu orang dan sentiasa memberi sokongan kepada peniaga tempatan.
“Walaupun tidak berkesempatan mendaftar sebagai penderma organ, namun mendiang pernah berbincang dengan keluarganya mengenai hasrat tersebut.
“JKNS mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga atas pendermaan ini,” katanya.
Mendiang Kriscy yang berasal dari Kampung Domis Hungab, Penampang merupakan ibu kepada dua anak dan pernah bertugas sebagai wartawan. Mendiang juga pernah menjadi guru bahasa Inggeris sebuah sekolah swasta di Sabah. – KOSMO! ONLINE