fbpx

Batal dewan sebab Sanusi ada kes tergantung dengan Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (kiri) dan Sanusi (kanan).

SHAH ALAM – Pembatalan dewan bagi Majlis Himpunan Anak Kedah seperti didakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkemungkinan disebabkan ahli politik itu mempunyai sensitiviti dengan kerajaan negeri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini terutama melibatkan kes Muhammad Sanusi dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang masih tergantung setakat ini.

“Dewan itu milik anak syarikat kerajaan negeri sebenarnya dan bukan milik swasta. Menyedari bahawa tokoh seperti Sanusi ini ada sensitiviti dengan kerajaan negeri terutama Sultan Selangor yang masih tergantung kes.

“Pihak terbabit (pemilik dewan) mungkin mengambil keputusan (memulangkan deposit). Mungkin saya kena rujuk balik sebab saya tidak tanya kenapa. Sebab saya tidak mendapat pun ‘contact’ daripada sesiapa. Tahu-tahu sudah ditempah dan tahu-tahu dibatal.

“Kebetulan masa itu, saya tiada di sini (Selangor), saya ada di Jerman (urusan lawatan kerja),” katanya pada sidang akhbar pasca Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung ucapan Muhammad Sanusi pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) di Bandar Utama Batang Kali semalam apabila Majlis Himpuinan Anak Kedah terpaksa ditukar ke lokasi lain selepas poster terpampang wajahnya.

Pengarah Pilihan Raya PN itu mendakwa lebih malang apabila pemilik premis memulangkan wang deposit penganjur perhimpunan dan ini tidak terjadi di Kedah yang mengalu-alukan mana-mana parti politik untuk menyewa dewan negeri itu.

Dalam pada itu, Amirudin dalam nada seloroh akan membuat program di Dewan Seri Mentalom, Kedah (kediaman rasmi Menteri Besar Kedah) susulan kenyataan Sanusi yang tidak mengenakan caj sewa sekiranya membuat program di Kedah.

“Kalau okay, nanti saya boleh buat program di Seri Mentalom lepas ini. Kalau macam itu pendiriannya, boleh program kerajaan negeri saya bayar (merujuk kenyataan Muhammad Sanusi), saya buat kat Seri Mentalom lah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI