NILAI – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang membuktikan dirinya masih berbisa apabila merangkul dua pingat emas menerusi acara pecut individu lelaki dan keirin pada kejohanan Siri 1 Piala Presiden di Velodrom Nasional di sini, hari ini.
Bekas juara dunia itu mengenepikan rakan sepasukan, Muhammad Ridwan Sahrom pada final pecut selain menewaskan seorang lagi atlet kebangsaan, Ahmad Safwan Ahmad Nazeri dan pelumba Indonesia, Dika Alif Dhentaka dalam acara keirin.
Azizulhasni berkata, kesempatan untuk beraksi pada Siri Piala Presiden itu digunakan sebaiknya bagi mendapatkan rentak terbaik sebelum beraksi pada Siri Piala Trek Jepun minggu depan.
“Saya hanya beraksi di sini kerana mahu mendapatkan sedikit latihan kerana akan berangkat ke Jepun Isnin ini bagi menghadapi dua kejohanan di sana nanti.
“Hari ini saya cuba menguji kemampuan diri. Saya juga berjaya catat 9.8 saat (s) pada pusingan kelayakan, sedangkan saya belum menggunakan kelengkapan penuh selain masih penat kerana banyak mengembara.
“Saya buat keputusan untuk menggunakan gear yang lebih berat bagi membina kekuatan otot di bahagian kaki. Saya turut menguji diri sendiri ketika berada dalam posisi sukar semasa perlumbaan,” katanya sejurus tamat perlumbaan.
Dalam pada itu, nasib tidak menyebelahi Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut individu apabila tersingkir di pusingan suku akhir selepas terjatuh sehingga mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri membuktikan kejaguhan selaku juara Asia apabila turut menyapu bersih kejuaraan dalam acara pecut individu dan keirin.
“Saya tidak pernah memandang rendah keupayaan setiap pesaing dan sentiasa memberikan aksi 100 peratus. Apabila masuk ke dalam trek, saya enggan berasa terlalu selesa, jadi saya akan terus memecut laju.
“Secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan aksi yang ditampilkan walaupun masih ada beberapa kelemahan boleh diperbaiki. Saya sentiasa cuba memperbaiki prestasi, terutamanya dari segi teknik dan taktik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE