KUALA TERENGGANU – Cuaca panas sejak dua bulan lalu telah meningkatkan risiko masalah kesihatan berkaitan kulit dan kehilangan air dalam badan dalam kalangan penduduk negeri ini.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, setakat ini terdapat lima kes berkaitan strok dan kelesuan haba dilaporkan sepanjang tempoh itu.
Katanya, ia melibatkan dua anggota tentera dan masing-masing satu membabitkan pekerja projek Laluan Rel Pantai Timur, murid sekolah dan warga emas.
“Dua pesakit masih menerima rawatan di hospital, manakala tiga lagi telah sembuh. Tiada kes melibatkan kematian,” katanya.
Menurutnya, strok dan kelesuan haba meningkatkan suhu sehingga 40 darjah Celsius sekali gus menyebabkan kehilangan air dalam badan yang banyak dan mengakibatkan otot kejang.
Tambahnya, mereka yang terkena strok haba perlu mendapatkan rawatan segera bagi mengelakkan komplikasi lebih teruk.
Kasemani berkata, cuaca panas turut menyebabkan impak kesihatan ringan seperti selaran matahari dan ruam kulit.
“Suhu di Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman mencecah 37 darjah Celsius, manakala 34 darjah di Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta Hulu Terengganu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya meminum air secukupnya selain mengehadkan aktiviti luar, pakai pakaian tidak tebal, bertopi dan menggunakan payung.
Beliau berkata, berdasarkan ramalan MetMalaysia, cuaca panas disebabkan fenomeba El Nino akan mula melemah pada Julai berikutan kemunculan fenomena La Lina.