fbpx

‘Terpaksa cagar emas baiki bumbung dibadai ribut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASMA terpaksa menggunakan kanvas bagi menutup sebahagian bumbung rumahnya yang tercabut dibadai ribut di Kampung Telok Wang Kechil, Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – “Nampak­nya tiada cara lain terpaksalah meminjam wang dengan saudara terdekat selain bercadang mencagarkan emas membaiki kerosakan ini.”

Demikian ujar Hasma Dan, 65, dari Kampung Telok Wang Kechil, Mukim Sungai Pasir, di sini, yang menjadi seorang mangsa ribut sehingga bumbung rumahnya tercabut pada Ahad lalu.

Katanya, dia masih buntu selepas tidak menerima sebarang bantuan bagi kerja-kerja pembaikan rumahnya itu.

“Kami sekeluarga dalam dilema untuk mencari wang bagi membaiki kerosakan yang membabitkan kos RM30,000.

“Sekarang cuaca tidak menentu dan jika tidak dibaiki segera kemungkinan keadaan akan bertambah teruk dan menyusahkan kami untuk berteduh,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, dia terpaksa menggunakan kanvas untuk menutup sementara beberapa bahagian bumbung rumah yang rosak.

Malah penduduk mendakwa, walaupun pelbagai pihak tampil, namun bantuan yang diterima hanyalah dari segi bahan makanan sedangkan keperluan utama ialah wang untuk membaiki rumah agar selesa diduduki.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Fatimah Saad, 61, berkata, dia bimbang jika rumahnya tidak dibaiki segera ia boleh mengancam ke­selamatan mereka seke­luarga.

“Kayu alang banyak yang patah dan tercabut dibawa angin bersama bumbung dalam kejadian pada pukul 5.30 petang, Ahad lalu dan kami risau boleh berlaku runtuhan bila-bila masa.

“Namun, disebabkan suami, Rusli Yahaya, 60, hanya peniaga pasar malam dan tidak mempunyai simpanan kami hanya bergantung harap kepada bantuan semata-mata,” katanya.

Kata Fatimah, kos membaiki kerosakan rumahnya mencecah RM35,000 dan dia sekeluarga buntu kerana tidak menerima sebarang bantuan.

“Kami hanya berdoa agar hujan tidak turun dalam masa terdekat selain terpaksa memberanikan diri tidur di bahagian ruang dapur rumah.

“Saya malu untuk meminjam daripada saudara untuk membaiki kerosakan ini kerana khua­tir gagal membayarnya nanti, selain hanya mengharap bantuan sepenuhnya daripada kerajaan,” katanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan, sekurang-kurangnya lapan rumah di lima kampung di daerah Kuala Muda rosak dibadai ribut.

Kejadian melibatkan masing-masing sebuah rumah di Kampung Berapit, Kampung Telok Wang Besar, Kampung Telok Wang Kechil dan Kampung Kuala Dahanan, manakala di Kampung Seri Gading, Jeniang, dekat sini melibatkan empat rumah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI