HULU SELANGOR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil didakwa gagal menggalas tanggungjawab untuk menjelaskan dasar kerajaan sehingga menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kritikan dan kecaman rakyat.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, Fahmi hanya menggunakan naratif kerajaan difitnah bagi menutup kegagalannya.
“Fahmi tidak dapat menjelaskan dasar kerajaan (dengan baik) sebab itu PMX (Anwar) teruk. Kenapa orang boleh hari-hari hentam Perdana Menteri? Sebab Menteri Komunikasi gagal.
“Kenapa orang hentam (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu) dalam isu beras? Sebab Menteri Komunikasi gagal terangkan kemana perginya beras,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana PN di Pekan Batang Kali, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Menteri Besar Kedah itu berkata, kegagalan tersebut menyebabkan Kerajaan Persekutuan dilihat lemah selain tidak berjaya menyelesaikan isu yang membelenggu rakyat.
“Apabila nilai ringgit merosot dan beras yang kita beli merupakan beras import, kita kena bayar lebih maka harga makanan akan menjadi mahal. Sebab itu rakyat marah dan rakyat tidak faham kenapa keadaan ini terjadi.
“Kegagalan terbesar adalah kerajaan tidak mampu memberikan penjelasan mengapa ini berlaku, sebab itu kerajaan ini lemah (dan perlu) dijatuhkan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE