fbpx

Prestasi saya turun naik – Zii Jia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA percaya masih ada ruang untuk memperbaiki segala kelemahannya menjelang aksi suku akhir nanti. – SABRI HASSAN/BAM

PERSEORANGAN lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui pemain No.1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen masih berada jauh di depannya jika dibandingkan dengan prestasi semasa yang ditampilkan ketika ini.

Kelmarin, Zii Jia akur tewas ­16-21, 22-24 kepada bekas juara dunia itu ketika Malaysia tumbang 2-3 kepada Denmark pada aksi terakhir Kumpulan D ­saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China.

Zii Jia yang turun sebagai perseorangan utama negara di­letakkan harapan untuk me­nyumbang mata pertama, namun bekas juara All England itu terpaksa akur dengan kekalahan straight-set dalam tempoh 45 minit.

“Aksi yang ditampilkan hari ini (kelmarin) masih perlu diperbaiki. Saya memang meletakkan harapan untuk bermain baik, jadi saya tidak berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan bertemu Viktor (Axelsen).

“Boleh nampak masih ada jurang dan semua orang tahu saya berdepan prestasi turun naik sepanjang tempoh dua tahun ini. Saya juga masih bergelut untuk kembali mendapatkan kondisi terbaik,” katanya.

Kekalahan kepada Denmark turut menyaksikan Malaysia muncul naib juara kumpulan dan dijangka berdepan laluan sukar di suku akhir nanti apabila diundi berdepan pasukan-pasukan juara kumpulan.

Juara Asia 2022 itu menjelaskan, masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki sekiranya dia mahu menampilkan aksi lebih baik pada pusingan lapan terbaik nanti dan menyumbang mata pertama buat Malaysia.

“Menjelang suku akhir nanti, antara (kekurangan) yang perlu diperbaiki adalah mungkin dari segi keyakinan diri. Saya tidak berpuas hati dengan prestasi kerana tahu di mana kemam­puan sebenar.

“Sekiranya saya mahu sampai ke tahap itu, masih banyak yang perlu dilakukan. Saya juga mengakui, Viktor bermain lebih baik dan yakin selain corak per­mainannya lebih tinggi berban­ding saya,” ujar Zii Jia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI