fbpx

Perak lancar KUDR bagi pengurusan utiliti lebih terancang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani berucap di Majlis Pelancaran KUDR di Pusat Konvensyen Casuarina di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh hari ini. Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Kerajaan negeri Perak hari ini melancarkan Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) iaitu satu penyelesaian bersepadu yang akan menjadi One Stop Agency (OSA) bagi pengurusan utiliti lebih terancang di seluruh negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia merupakan satu inisiatif bersama membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan pelabur tempatan tanpa suntikan kewangan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, penubuhan KUDR itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 5 Januari 2022 berdasarkan kajian terhadap kesesuaian dan kebolehlaksanaannya di Perak oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri.

“KUDR akan menjadi pemudah cara dalam melancarkan proses penyediaan infrastruktur utiliti di negeri ini seperti elektrik, air, gas, telekomunikasi dan sistem pembetungan selain membolehkan pemasangan dan penyelenggaraan utiliti dilakukan secara terancang cekap serta terkawal.

“Ia juga adalah langkah proaktif bagi menangani isu dan cabaran seperti kompleksiti urusan permit korekgali, kesukaran pihak berkuasa memberi kelulusan serta memantau kerja utiliti, dan kesulitan mendapatkan data utiliti dengan spesifikasi tepat,” katanya di sini hari ini.

Menurut Saarani, kerajaan negeri yakin pendekatan inovatif dan inklusif ini akan menjurus kepada kesejahteraan rakyat, serta menjamin kesinambungan penyampaian kemudahan dan perkhidmatan awam di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baharu.

Beliau berkata, rakyat akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa, fasiliti kerajaan yang lebih baik dan keselamatan yang lebih terjamin melalui perkhidmatan KUDR.

“Selaras dengan sasaran Perak Sejahtera 2030, KUDR telah membangunkan satu sistem dalam talian iaitu KUDRAT bagi memperkasa ekonomi digital, pembuatan keputusan dipacu data serta tadbir urus projek berkepentingan negeri.

“Bermula 1 April lalu, KUDR telah mula menerima permohonan korekgali utiliti melalui sistem KUDRAT dan kerajaan negeri mengalu-alukan sokongan padu semua pemegang taruh bagi menjayakan pelan transformasi digital yang lebih efisien dan telus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI