fbpx

Penduduk Kelantan cemas sudah dua bulan tidak turun hujan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan tali air yang kering kontang di salah sebuah tempat di Kelantan. GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL.

PETALING JAYA – Kemarau yang melanda Kelantan hampir dua bulan tanpa hujan didakwa menyebabkan paras sungai-sungai utama mulai susut.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, cuaca panas yang tiada kesudahan itu telah mencetuskan kebimbangan kepada penduduk apabila sumber air mereka juga teruk terjejas akibat kemarau.

Menurut seorang penduduk di Ketereh, Jue Redzwan melalui laman Facebooknya, dia mengakui terkesan dengan situasi itu sehingga terpaksa ‘memunggah air’ untuk menyempurnakan rutin harian.

“Dugaan Allah bagi dekat dua bulan dah kemarau panjang ni. Pakat munggah air belaka dah sek kita. Air telaga pun kering, hari-hari basuh baju di dobi saja lah,” katanya.

Sementara itu, pengguna Facebook lain, Nur Shafira berkata, bahang panas kemarau itu bukan sahaja terasa pada waktu siang malah mereka juga terpaksa tidur malam dalam keadaan berpeluh.

“Pukul 2.25 pagi bangun mandi lagi, panas dooh (sangat) masa ni pun berpeluh. Sudah lah waktu malam pun berpeluh juga. Semoga hujan turun di bumi Pasir Puteh, kemarau panjang panas terik loni (sekarang),” ujarnya.

Malah, situasi ini juga dilihat bertambah buruk apabila kekurangan sumber air dan panas yang melampau menyebabkan hasil tanaman juga tidak menjadi.

“Sekitar kawasan ni (Kampung Tok Junoh, Pasir Puteh) boleh kata kritikal. Sungai pun kering, dimaklumkan hasil kerseluruhan musim ni boleh dikatakan hilang hampir 50 peratus kawasan yang tidak dapat dituai,” kata Naim Omar di Facebooknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI