SINGAPURA – Seorang pelancong menggelar sebuah hotel di Singapura sebagai yang paling teruk di dunia, lapor portal berita AsiaOne hari ini.
Pelancong berkenaan memberikan gelaran sedemikian selepas dia tidak mendapat bekalan elektrik ketika menginap di hotel tersebut baru-baru ini.
“Tidak ada air dan elektrik untuk sepanjang malam. Tidak ada bayaran balik. Tiada permohonan maaf,” katanya.
Berikutan pengalaman buruk, wanita dari Hong Kong tersebut enggan datang melancong semula ke Singapura.
“Apabila saya mendaftar masuk pada waktu malam 1 April lalu, kakitangan (hotel itu) memberitahu saya bahawa tiada bekalan elektrik dari pukul 2 pagi hingga 5 pagi kerana pemeriksaan tahunan.
“Kakitangan hotel tahu kebimbangan saya dan memberitahu ketiadaan bekalan elektrik itu bukanlah selama tiga jam. Ia mungkin sekitar 15 hingga 20 minit dan saya beranggapan tempoh bergelap beberapa minit boleh diterima. Ketika itu, sudah terlalu lambat dan mahal untuk menukar hotel.
“Saya tidak mahu pergi lagi ke Singapura,” katanya.
Pelancong itu turut berkongsi foto notis yang memaklumkan tetamu tentang gangguan bekalan elektrik tetapi mendakwa dia tidak dimaklumkan tentang kekurangan bekalan air.
“Hakikatnya tiada air dari sekitar tengah malam, kemudian tiada kuasa (elektrik) sehingga pagi esok.
“Saya tidak boleh tidur dengan badan yang berpeluh. Cuaca sangat panas, hampir 40 darjah Celsius. Tiada penghawa dingin dan tingkap tidak boleh dibuka,” katanya. – AGENSI