PETALING JAYA – Syarikat gergasi teknologi, Microsoft bersetuju untuk menambah pelaburan berjumlah USD2.2 bilion (RM10.5 bilion) yang bakal merancakkan lagi transformasi digital Malaysia untuk tempoh empat tahun akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah tersebut merupakan pelaburan terbesar oleh Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia.
Menurut Anwar, Malaysia menyambut baik keputusan pelaburan tersebut yang membuktikan keyakinan syarikat gergasi itu kepada asas ekonomi negara yang kukuh, dasar-dasar yang jelas dan terarah, selain mesra pelabur dan kestabilan politik.
“Pelaburan tersebut meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (cloud system) dan kecerdasan buatan (AI), pewujudan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang serta penubuhan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional yang bakal mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia.
“Pelaburan ini juga selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.
Difahamkan, pengumuman pelaburan terkini oleh Microsoft itu dibuat oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella dalam pertemuan mereka di Putrajaya, hari ini.
“Usai kunjungan hormat, saya dan Satya kemudiannya menghadiri National AI Leadership Forum.
Kami sempat berdialog terkait perkara yang menyentuh hal teknologi yakni AI dan perancangan Kerajaan bagi mempersiapkan negara dengan arus perubahan ini.
“Semoga kerjasama Malaysia dan Microsoft ini dapat membawa manfaat yang cukup besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE