SERDANG – Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan, Malaysia antara negara tertinggi di dunia yang membuang sisa makanan sehingga mencatatkan 12,000 tan sehari ketika bulan Ramadan lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, angka tersebut merupakan laporan yang telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini yang menjadikan Malaysia antara negara yang tertinggi membuang sisa makanan ketika ini.
“Jadi tabiat membuang sisa makanan berlebihan ini perlu dibuang, saya juga banyak menjelajah ke beberapa negara selama ini, jamuan makanan yang terbaik adalah di Jepun dan Thailand.
“Mereka hanya berikan hidangan secukupnya dan tidak berlebihan, itu tabiat mereka,” jelasnya kepada pemberita selepas Majlis Amanat dan Sambutan Mesra Aidilfitri 2024 di MAEPS di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan kenaikan gaji penjawat awam semalam adalah satu tindakan terbaik bagi kakitangan kerajaan yang sudah lama tidak mendapat kenaikan gaji yang sepatutnya.
“Saya lihat sambutan majlis ini adalah dalam ‘mood’ gembira apabila penjawat awam bakal dinaikan gaji pada bulan Disember nanti.
“Kenaikan gaji sebanyak 15 peratus kepada kakitangan awam adalah selayaknya kerana sudah 12 tahun mereka tidak dapat kenaikkan seperti ini,” jelasnya lagi. – KOSMO! ONLINE.