SEREMBAN – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang wanita kerana gagal hadir untuk sebutan semula kes mengabaikan anak kandung perempuannya berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematiannya Mac lalu.
Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh, Noraini Haron, 42.
Pada 1 April lalu, Noraini dengan teman lelakinya Mohd Khairul Shamsua Israk, 38, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebut semula kes hari ini untuk mengemukakan laporan forensik, namun hanya Mohd Khairul yang hadir ke mahkamah manakala Noraini tidak hadir termasuk penjaminnya.
Mahkamah kemudiannya telah ditangguhkan sebentar bagi kehadiran tertuduh, namun tertuduh masih gagal hadir ke mahkamah.
Hakim kemudiannya menetapkan satu tarikh baharu pada 4 Jun ini bagi sebutan semula kes.
Media pada 27 Mac lalu melaporkan polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Bandar Sunggala, Port Dickson pada 26 Mac lalu bagi membantu siasatan membabitkan kes pengabaian seorang kanak-kanak perempuan. – KOSMO! ONLINE