SHAH ALAM – Kakitangan awam dinasihatkan supaya mengawal perbelanjaan terutama dalam mencipta hutang baharu susulan pengumuman kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai 1 Disember ini.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerajaan (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat mengakui kenaikan gaji sudah tentunya akan meningkatkan pendapatan isi rumah dan kebolehan belanja dalam kalangan penjawat awam termasuk kelayakan pembelian rumah.
“Hutang juga akan menjadi lebih besar kerana kelayakan itu (pinjaman selepas gaji naik). Nasihat kami kepada penjawat awam adalah lihat kembali (corak perbelanjaan) sebelum gaji naik.
“Berbelanja dengan angka sebelum gaji naik. Jangan berbelanja dengan gaji yang akan naik.
“Sekiranya dia tidak berbelanja dengan gaji akan datang bermakna akan ada lebihan dalam bentuk pendapatan keluarga dan simpanan pada masa akan datang,” katanya pada sambutan Hari Pekerja Cuepacs Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.
Perasmian majlis sambutan itu disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Justeru, Adnan menasihatkan penjawat awam agar bijak dan berhemah dalam berbelanja dalam memberikan kesenangan kepada mereka nanti.
“Lihat ketika kita susah ketika ini. Bukan mengekalkan kesusahan tersebut tetapi beri kelegaan dan bukannya berbelanja dengan luar kemampuan dengan peningkatan kelayakan pinjaman perumahan dan sebagainya.
“Elakkan daripada membuat pinjaman peribadi (yang besar yang akan menekan mereka nanti),” jelasnya.
Mengulas mengenai perdebatan pengumuman bentuk kenaikan peratusan gaji susulan tiada garis panduan yang jelas, beliau menegaskan perkara itu tidak wajar dibincangkan kerana gaji tersebut akan tetap naik.
“Secara mudahnya, pegang kepada ayat-ayat dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Hari Pekerja semalam iaitu kenaikan gaji melebihi 13 peratus dan ada bahasa digunakan 15 peratus.
“Tidak perlu bincang, kami dapat atau kau dapat berapa peratus. Yang penting angka peratusan diumumkan Perdana Menteri itu dan itu sahaja kita perlu ingat.
“Unjuran pendapatan itu, janganlah diunjurkan besar dan pengumuman peratusan itu pastinya akan meningkatkan pendapatan isi rumah yang dan bukan perbelanjaan dibuat hutang baru,” katanya. -KOSMO!ONLINE