KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengambil sampel kuih ketayap yang didakwa punca keracunan makanan melibatkan enam mangsa pada Ahad lalu.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Kasemani Embong berkata, pemeriksaan turut dilakukan terhadap peniaga Pasar Bukit Payong, Marang terbabit.
“Siasatan mendapati kuih ketayap tersebut dihantar untuk jualan oleh pengusaha lain ke gerai berkenaan.
“Sampel bahan asas membuat kuih ketayap tersebut juga telah diambil untuk dianalisa di makmal bagi siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan tular klip video di media sosial memaparkan dakwaan seorang lelaki mendakwa isteri dan anak-anaknya mengalami keracunan makanan selepas memakan kuih ketayap.
Lelaki berkenaan mendakwa isterinya berusia 31 dan dua orang anak berumur dua dan enam tahun mengalami muntah-muntah, mulut berbuih dan cirit-birit setelah memakan kuih itu pada Ahad lalu.
Kasemani berkata, lima daripada tujuh individu yang telah memakan kuih ketayap berkenaan pada hari kejadian disahkan mengalami keracunan makanan.
Jelas beliau, empat daripada lima mangsa terbabit dirujuk ke HSNZ manakala seorang yang hanya mengalami gejala ringan pula hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang. – KOSMO! ONLINE