fbpx

Bukti orang Korea tak pernah ‘kering idea’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUNGKIN saranan ini agak terlambat, namun musim pertama siri fenomena Netflix berjudul Parasyte: The Grey berbaloi ditonton.

Bertemakan sains fiksyen, seram dan ada suntikan elemen ‘body snatcher’, siri arahan sutradara, Yeon Sang-ho itu sememangnya membuatkan penulis tidak tidur malam.

Bukan disebabkan takut unsur ngeri yang dipaparkan tetapi selepas menghabiskan enam episod sekali gus, terdetik rasa tidak sabar menanti apa yang akan berlaku pada bahagian atau musim selanjutnya.

Antara babak horror diangkat dari komik Manga, Parasyte yang berjaya diterjemahkan cemerlang dalam bentuk live-action atau siri.

Sedikit ‘spoiler alert’, pada penghujung episod keenam, ada ‘sesuatu’ yang menderaskan adrenalin penonton untuk terus mengikuti perkembangan ‘spin-off’ karya adaptasi daripada komik Manga penulis ternama Jepun, Hitoshi Iwaak itu.

Naratif ‘top-notch’

Menyentuh soal terjemahan naratif atau plot, Parasyte: The Grey sebenarnya membuatkan peminat tidak senang duduk.

Tidak senang duduk kerana siri ini mengisahkan parasit yang mampu ‘duduk’ dalam tubuh manusia dan mengubah manusia menjadi ganas dan membunuh antara satu sama lain.

Cara makhluk berkenaan membunuh juga sangat mengerikan, umpamanya, kalau tersilap langkah sedikit memang terbelah dua atau mati terkulai layu begitu sahaja. Memang penuh dengan pertumpahan darah.

Keduanya, penulis ingin memberikan pujian kepada barisan pelakon yang terlibat. Buat Jeon So-nee yang melakonkan karakter Jeong Su-in, Heidi, ‘LUSM’.

Buat Koo Kyo-hwan yang memainkan peranan Seol Kang-woo, anda memang power dan layak diberikan akronim ‘143’.

Watak utama penuh misteri, Su-in diterjemahkan dengan hebat aktres Jeon So-nee.

Sinergi antara dua pelakon utama itu memainkan karakter ‘love interest’ memang berbekas atau memberikan dampak tersendiri.

Watak Kang-woo yang bermula sebagai gengster mencari keadilan dengan cara sendiri betul-betul membuatkan jiwa terinspirasi.

Bukan semua orang jahat memilih untuk melakukan kobobrokan kalau tidak berlaku sesuatu dalam kehidupan mereka.

Cemerlang, VFX mantap

Dalam pada itu, penulis juga ingin memberi kredit kepada pemain watak lain seperti Lee Jung-hyun (Choi Jun-kyung).

Pada mulanya rasa macam nak siat-siat mukanya sebab ‘kepala batu’, namun hujung-hujung terasa seperti mahu cium dahinya atas jasa diberikan kepada pihak terlibat dalam membanteras penularan parasit di bumi Korea Selatan.

Pujian juga harus diberikan kepada pasukan teknikal yang bertanggungjawab dari segi sinematografi dan kesan bunyi. Memang sentuhan bertaraf filem.

Parasyte: The Grey kini merupakan antara siri paling trending dalam Netflix.

Bukan mudah ingin menterjemah kisah Manga ke versi ‘live-action’ dengan segala kesan khas (VFX) dan teknik janaan komputer (CGI), namun mereka yang terlibat faham tugasan dan dilaksanakan dengan cemerlang.

Secara keseluruhan, Parasyte: The Grey merupakan sebuah karya yang layak diucapkan berjuta-juta penghargaan dan kata-kata bernuansa positif.

Kalau daripada 100, peratusan markah untuk naskhah ini secara peribadi adalah 90 peratus. Tak sabar menanti kehebatan Shinichi Izumi untuk bahagian selanjutnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI