JEMPOL – Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya berusia 11 tahun cedera apabila motosikal mereka merempuh belakang sebuah trak pikap, di kilometer 16, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, trak pikap yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 35 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Pilah hendak ke Kampung Pos Iskandar, Bera.
Menurutnya, pemandu pacuan empat roda memberhentikan kenderaannya di lokasi kejadian kerana terdapat sebuah lori yang berada di hadapan kenderaan itu sedang masuk ke simpang kanan.
“Tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah belakang pacuan empat roda yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 50 tahun bersama anaknya melanggar bahagian belakang trak pikap tersebut.
“Penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan, manakala pembonceng mengalami luka di mulut dan bengkak di kaki dikejarkan ke Hospital Jempol bagi mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.
Ujar Chang Hook lagi, pemandu trak pikap itu bagaimanapun tidak mengalami apa-apa kecederaan serta menghadirkan diri memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, polis meminta agar saksi kejadian yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Imran Sharwandy Suwandi Yazid di talian 012-643 4489 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE