KUALA TERENGGANU – Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid mengalami kecederaan dipercayai akibat disamun di hadapan sebuah apartmen di bandar raya ini malam ini.
Beliau yang kelihatan lemah dan memegang kepalanya yang dipercayai dipukul dengan cota telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
Teman wanitanya, Eyka Farhana yang merupakan selebriti kelihatan menemani Akhyar ke hospital.
Difahamkan Eyka Farhana atau nama sebenarnya, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 29, ke bandar raya ini untuk meraikan ulang tahun kelahiran Akhyar ke-25.
Sementara itu, tinjauan mendapati setakat pukul 11.30 malam, Akhyar masih menerima rawatan di Unit Kecemasan HSNZ.
Akhyar yang juga tonggak Harimau Malaya mula menyertai TFC secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pemain itu juga difahamkan berada dalam perancangan pengendali negara, Kim Pan-gon untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada bulan depan. – KOSMO! ONLINE