fbpx

K2

Adakah puasa 6 amalan makruh?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Assalamualaikum mufti. Mengapakah mazhab Maliki memakruhkan puasa enam Syawal sedangkan terdapat hadis sahih tentang syariat dan kelebihannya?

Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pensyariatan puasa enam hari pada bulan Syawal melalui hadis riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ia bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim, 1164)

Mazhab Hanafi, Syafi’i dan Hanbali bersepakat bahawa puasa enam hari pada Syawal adalah sunat yang sangat dituntut berdasarkan hadis di atas. (Rujuk Bada’ie as-Sona’ie, 2/78; Nihayatul Muhtaj, 3/208 dan Al-Mughniy, 3/176)

Adapun menurut mazhab Maliki, terdapat satu riwayat daripada Imam Malik bin Anas bahawa beliau tidak pernah melihat mana-mana ilmuwan dan ahli fekah melakukan puasa tersebut.

Tidak sampai pada beliau riwayat daripada golongan salaf yang berpuasa enam hari pada bulan Syawal. Bahkan, ada sesetengah ilmuan memakruhkannya kerana bimbang orang jahil akan menganggapnya sebagai sebahagian daripada Ramadan. (Rujuk Syarh az-Zarqani ‘ala al-Muwatta’, 2/297)

Dalam mazhab Maliki, sesuatu hadis itu tidak boleh diterima secara bulat-bulat kecuali jika disokong dengan amalan penduduk Madinah kerana mereka adalah golongan yang paling hampir dengan Rasulullah SAW. Justeru, mereka lebih memahami tentang apa yang dilakukan oleh Nabi SAW.

Imam Malik selaku penduduk Madinah mendapati bahawa ahli Madinah sendiri tidak berpuasa enam, walhal wujud hadis.

Beberapa ulama mazhab Maliki kemudian memberi komentar terhadap pandangan Imam Malik ini, antaranya;

Imam Ibnu Rusyd memberikan beberapa pentakwilan ke atas fatwa Imam Malik ini. Antaranya, Imam Malik bimbang orang jahil akan menambah hari ke atas bulan Ramadan atau beliau tidak mengetahui akan hadis ini.

Paling sahih menurut Imam Ibnu Rusyd ialah Imam Malik tidak menganggap hadis ini sebagai sahih. (Rujuk Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtasid, 2/71)

Menurut Syeikh ad-Dasuqi, kemakruhan puasa enam pada bulan Syawal itu hanya terpakai untuk mereka yang jahil dan dibimbangi akan terkeliru Syawal dengan Ramadan.

Selain itu, dimakruhkan juga bagi yang menganggap pahala hanya akan diperolehi jika puasa dilaksanakan secara berturut-turutan/bersambung.

Hukum makruh hanya terpakai jika keadaan ini wujud. Jika tidak, maka hukumnya harus. (Rujuk Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala as-Syarh al-Kabir, 1/517)

Ketika mengulas kenyataan Imam Malik yang melihat tiada ilmuwan pada zamannya mengamalkan puasa enam tersebut, Imam al-Nawawi berkata, apabila sesuatu sunah itu telah sabit, maka ia tidak ditinggalkan hanya kerana tidak diamalkan oleh sebahagian, kebanyakan atau semua orang sekalipun. (Rujuk Syarh Sahih Muslim, 8/56).

Pada pandangan kami, pendapat Imam Malik ini adalah tidak sesuai untuk diamalkan kerana ‘illah yang beliau gunakan (bimbang orang jahil menganggap puasa enam sebagai sebahagian Ramadan) tidak lagi timbul pada zaman sekarang.

Umum telah mengetahui perbezaan antara puasa wajib Ramadan dan puasa sunat Syawal.

Kesimpulannya, Imam Malik menganggap puasa enam hari pada Syawal adalah makruh dan tidak disunatkan kerana hadis yang diriwayatkan berkenaannya bertaraf ahad dan ia tidak diamalkan oleh penduduk Madinah pada zaman beliau.

Ia juga dimakruhkan kerana takut puasa enam hari pada bulan Syawal disangka wajib oleh orang-orang jahil dan dianggap sebagai sebahagian daripada Ramadan.

Namun hujah ini ditolak oleh tiga mazhab mu’tabar lain iaitu Hanafi, Syafi’i dan Hanbali kerana hadis yang sahih dan sarih meskipun bertaraf ahad sudah cukup untuk dijadikan hujah tanpa perlu disandarkan kepada amalan penduduk Madinah.

Kebimbangan yang ditimbulkan oleh Imam Malik juga tidak lagi berlaku dan perbezaan antara bulan Ramadan dan Syawal adalah jelas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI