HULU SELANGOR – Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), P. Ramasamy didakwa hanya memainkan politik dendam ke atas DAP dan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri yang lalu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan memboikot calon Pakatan Harapan (PH) tanpa alternatif lain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu menunjukkan Ramasamy tidak mempunyai hala tuju.
“Kalau ikut hujah (Ramasamy), dia ini tak tentu arah. Dia kata jangan undi PH, tetapi nak undi siapa, (awak) tanya dia. Dia tak jawab nak undi siapa.
“Dia tidak ada alternatif. Maksudnya (Ramasamy) ini (hanya) berpolitik atas dendam sahaja. Dendam kepada DAP dan PH sebab tidak dicalonkan semula,” katanya ketika ditemui di pekan Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.
Untuk rekod, PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan calon PH, Pang Sock Tao, calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut, calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.
Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, isu boikot calon PH menjejaskan kempen parti itu dan pihaknya akan fokus memberikan penerangan kepada semua masyarakat.
“Sekarang ini kita nak pilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Jadi, apabila dipilih, dia adalah wakil rakyat kerajaan negeri. Jadi itu yang kita nak bincangkan dalam kempen PRK ini.
“Bukannya soal nak boikot ini, boikot itu tetapi tiada alternatif. Dia tak berani nak cakap untuk pilih siapa. Kalau ikut dia, kita pun tiada hala tuju dan akhirnya sesat,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, kempen PH masih berada di fasa awal dan akan mula mengadakan ceramah besar bermula Jumaat ini.
“Pada permulaan kempen, memang ceramah tidak begitu ‘panas’ lagi. Sekarang ini, kita mulakan dulu dengan ceramah kelompok. Hujung minggu ini kita akan mula ceramah besar yang mana saya (Anthony Loke) akan turun di Batang Kali,” jelasnya.
“Ini kerana di kawasan luar bandar ini, cara kempen lain sedikit kerana penduduk di kawasan ini dia tidak menghuni semua di satu tempat. Jadi kita fokus kepada lokaliti (Pusat Daerah Mengundi) masing-masing,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE