HULU SELANGOR – Calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut menafikan beliau terlibat dalam membuat serangan peribadi ke atas calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao.
Khairul Azhari berkata, beliau enggan menggunakan perkara tersebut sebagai ‘senjata’ untuk menyerang pihak lawan dan mahu berkempen secara sihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
“Serangan peribadi antara calon ini, saya tidak mahu masuk campur. Itu bukan kerja saya, ia kerja ‘tentera’ siber,” katanya ketika ditemui di pasar awam Kuala Kubu Baharu, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mencabar Sock Tao untuk mendedahkan kelulusan akademiknya selain membangkitkan isu sekolah vernakular.
Untuk rekod, Sock Tao dan Khairul Azhari turut ditentang dua pencabar lain iaitu calon Parti Rakyat Malaysia Hafizah Zainudin dan calo Bebas Nyau Ke Xin pada PRK Kuala Kubu Baharu.
Mengulas lanjut, Khairul Azhari berkata, sambutan menggalakkan daripada pengundi di Kuala Kubu Baharu memberikan semangat kepadanya untuk meneruskan kempen.
“Penerimaan cukup baik terutama daripada masyarakat tempatan, jadi kita rasa seronok. Penat tu memang penat. Tetapi bila bertemu dengan pengundi, penat itu hilang,” katanya. – KOSMO! ONLINE