BANDAR RAYA NEW YORK – Berpuluh-puluh polis dikerah untuk menghalang peserta demonstrasi solidariti terhadap Palestin di kampus Universiti Columbia ketika sejumlah penunjuk perasaan ditahan.
Polis memanjat masuk ke dalam Hamilton Hall melalui tingkap di aras dua sebelum menggari beberapa pelajar.
Pelajar-pelajar yang terlibat berikrar meneruskan tindakan mereka untuk menentang walaupun diancam dibuang kampus.
Mereka juga terus membantah ketika angka kematian meningkat akibat peperangan di antara Israel dengan Hamas di Semenanjung Gaza.
Tindakan itu dibuat ketika pentadbir universiti di seluruh Amerika Syarikat bergelut selama berminggu-minggu untuk membendung demonstrasi pro-Palestin di serata kampus.
Presiden Universiti Columbia, Minouche Shafik berkata, tunjuk perasaan di kampus itu diketuai oleh individu luar kampus.
Baliau meminta bantuan Jabatan Polis New York bagi mengusir semua penunjuk perasaan dari Hamilton Hall dan khemah sekitarnya.
Dia juga mengarahkan polis untuk mengawal keadaan di sekitar kampus sehingga 17 Mei ini bagi memastikan perkhemahan penunjuk perasaan tidak dibina semula. – AFP