WASHINGTON – Sebuah jet tentera F-16 terhempas berhampiran Pangkalan Tentera Udara Holloman di negeri New Mexico, sebelum waktu tengah hari (waktu tempatan) semalam, kata seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) kepada laman berita Fox News.
Menurut pegawai tersebut, juruterbang pesawat itu sempat keluar dari jet menggunakan kerusi anjal sebelum ia terhempas.
Pesawat pejuang F-16 Fighting Falcon milik Tentera Udara AS itu terhempas di barat pangkalan berhampiran Taman Negara White Sands pada kira-kira pukul 11.50 pagi (waktu tempatan).
Ketika kejadian, pesawat itu hanya dikendalikan oleh seorang juruterbang, manakala dia telah dihantar ke pusat perubatan terdekat untuk menerima rawatan.
Siasatan sedang dilakukan untuk menentukan punca nahas itu, manakala insiden tersebut merupakan yang ketiga dalam tempoh enam bulan melibatkan pesawat F-16 milik AS. – AGENSI