SUNGAI PETANI – Lebih 4,000 penduduk Taman Semarak di sini, menjalani aktiviti harian dalam keadaan tidak selesa berikutan terpaksa menghidu bau bangkai ikan di kolam kumbahan berdekatan perumahan mereka sejak lima hari lalu.
Tinjauan Kosmo! mendapati, bangkai ikan tilapia itu terapung dan bau busuk boleh dihidu sehingga jarak 100 meter.
Seorang penduduk, Mohd. Radzi Shamsudin, 69, dari Taman Semarak Fasa 1 berkata, bau busuk bangkai ikan itu menjejaskan perniagaan kedai makan yang diusahakan anaknya kerana terletak berdekatan kolam kumbahan tersebut.
“Ramai pelanggan mengeluh kerana tidak tahan menghidu bau busuk, mereka tidak selera untuk makan (di kedai) sebab bau (bangkai ikan) itu sangat memualkan.
“Keadaan itu menyebabkan anak saya terpaksa menutup kedai miliknya selama beberapa hari,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk, Nasir Yunus, 65, memberitahu, ratusan ikan yang mati itu kebanyakannya jenis tilapia.
“Sebelum ini, air kolam kumbahan yang terletak di tengah-tengah perumahan antara fasa satu dan dua ini jernih dan sering menjadi lokasi memancing kerana terdapat banyak ikan di situ.
“Namun, sejak minggu lalu, kami mendapati airnya berubah menjadi hitam sehingga mengakibatkan ratusan ikan mati. Setakat ini kami tidak tahu apa puncanya,” ujarnya.
Bagi suri rumah, Maimunah Abdul Halim, 50, yang tinggal berdekatan kolam kumbahan itu, bau busuk tersebut semakin hari semakin memualkan sehingga membantutkan selera dia sekeluarga untuk makan.
“Sudahlah cuaca panas sekarang ini ditambah pula bau busuk yang meloyakan, memang memeningkan kepala,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Komuniti Kampung Taman Semarak, Mohd. Rizal Yahaya berkata, sebelum ini. penduduk tidak menhadapi masalah bau busuk ekoran kolam tersebut diselia dengan baik oleh pihak berkuasa.
“Bau busuk ini dipercayai berpunca daripada bangkai ikan yang terapung. Kita sedang berurusan dengan pihak berkuasa untuk membersihkan kolam itu dengan kadar segera bagi mengelak mengganggu aktiviti harian penduduk,” tambahnya.