MADINAH – Banjir dan hujan lebat melanda utara Arab Saudi, memaksa jalan-jalan ditutup dan sesi persekolahan dibatalkan, lapor laman berita The New Arab semalam.
Video disiarkan oleh laman berita Sky News dan sebilangan yang tersebar di media sosial menunjukkan banjir kilat berlaku kelmarin di wilayah Al-Ula dan Madinah.
Rakaman yang dikongsikan menunjukkan hujan lebat melanda kawasan berhampiran Masjid Al-Nabawi.
Ia berlaku beberapa hari selepas banjir kilat melanda negara jiran, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Oman, dalam kejadian jarang berlaku yang sebahagiannya disebabkan oleh perubahan iklim.
Pada November 2022, bandar Jeddah dilanda banjir akibat hujan lebat, yang meragut nyawa dua orang. – AGENSI