LONDON – Pasukan Ferrari bersedia membayar pampasan £100 juta (RM597.85 juta) untuk mendapatkan pereka legenda Formula Satu (F1) dari Red Bull, Adrian Newey bagi tahun 2026.
Menurut laporan akhbar Itali, Gazzetta dello Sport, Ferrari bersedia untuk mengatur rundingan bersama Red Bull untuk memastikan Newey menyertai mereka ketika peraturan baharu F1 mengalami perubahan pada 2026 nanti.
Ketika ini timbul spekulasi yang menyebut Newey bersedia untuk meninggalkan Red Bull sejak ketua pasukan, Christian Horner dituduh melakukan gangguan seksual serta kelakuan tidak wajar terhadap pekerja wanita.
Red Bull secara terbuka menolak spekulasi tersebut dan mengakui Newey masih terikat kontrak sehingga akhir musim 2025z
“Adrian (Newey) masih terikat kontrak sekurang-kurangnya sehingga akhir musim 2025 dan kami tidak mengetahui dia akan menyertai mana-mana pasukan lain,” kata jurucakap Red Bull.
Ferrari dan Aston Martin bersedia menandatangani Newey, jika pereka F1 legenda itu memutuskan untuk tidak bersara.
Red Bull membawa pendekatan berbeza terutama reka bentuk jentera yang diilhamkan oleh Newey sekali gus memastikan RB19 yang sangat kompetitif dan menyebabkan Red Bull melakar 21 kemenangan musim lalu.
Newey juga menjadi individu sangat penting dalam kejayaan Red Bull selama 15 tahun terakhir apabila turut membantu Sebastian Vettel meraih empat gelaran, begitu juga dalam era Max Verstappen.
Disebabkan kejayaan luar biasa itu, Ferrari sangat berhasrat untuk membawa Newey ke Maranello untuk membentuk pasukan terbaik yang turut diperkuatkan Lewis Hamilton dan Charles Leclerc. – AGENSI