LIVERPOOL – Bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah dinasihatkan supaya meninggalkan pasukan itu pada hujung musim ini selepas insiden pergaduhannya dengan pengurus, Jurgen Klopp ketika menentang West Ham Sabtu lalu.
Klopp sah meninggalkan Anfield hujung musim ini, namun bekas pemain dan pengulas bola sepak England, Clinton Morrison percaya bahawa Salah juga sepatutnya mengambil tindakan sama kerana insiden itu dianggap sebagai penamat karier cemerlangnya di Merseyside.
Selain Virgil Van Dijk dan Trent Alexander-Arnold, Salah juga berada pada tahun terakhir kontrak mereka musim depan dan pemain berusia 31 tahun itu perlu segera membuat keputusan ketika kelibatnya diintai kelab dari Arab Saudi.
“Dia (Salah) tidak berada pada prestasi terbaik ketika ini. Saya berada di stadium menyaksikan perlawanan derbi Merseyside menentang Everton dan Salah terlepas banyak peluang terbaik yang dimiliki.
“Salah masih berjaya menjaringkan banyak gol, tetapi dua lagi rakannya tidak. Sebelum ini, Salah memiliki Roberto Firmino dan Sadio Mane yang cukup tajam, namun Luis Diaz dan Darwin Nunez tidak mampu menyebabkan tugas itu terpaksa dipikul Salah.
“Perubahan itu dilihat tidak bagus. Kita tidak tahu mengenai apa yang dikatakan Salah dan Klopp. Saya fikir Salah kecewa tidak berada dalam kesebelasan utama kerana aksi menentang West Ham sangat penting dan Liverpool perlukan pemain terbaik.
“Ia adalah kekecewaan besar buat Salah. Secara peribadi, saya tidak nampak Salah perlu kekal bersama Liverpool musim depan,” katanya. – AGENSI