LONDON – Pengkritik bola sepak England, Gary Neville percaya ‘kegilaan’ Chelsea menawarkan kontrak panjang selama lapan tahun mereka merosakkan motivasi para pemain muda yang dibeli.
Pemilik kelab, Todd Boehly membuat polisi dengan memberikan kontrak panjang kepada para pemain baharu yang dibeli dan kebanyakan mereka masih berada pada usia yang muda.
Mykhailo Mudryk misalnya diberikan kontrak selama lapan tahun dengan tawaran gaji sebanyak £100,000 (RM595,275) seminggu, manakala Enzo Fernandes yang berpindah dari Benfica diberikan gaji mingguan sebanyak £180,000 (RM1.07 juta) serta Moises Caicedo dibayar £150,000 (RM892,913).
Idea kontrak panjang ini dipercayai untuk mengelakkan mereka berdepan pelanggaran Peraturan Kewangan Adil (FFP), namun Neville percaya tindakan Chelsea itu memakan diri apabila ia menjadikan para pemain muda tiba-tiba menikmati kekayaan melampau.
“Mereka perlukan pemain yang bagi, berpengalaman dan tidak boleh lagi terus tercicir kerana idea kontrak lapan tahun. Kontrak sebegitu tidak masuk akal dan memberi kesan buruk terutama kepada pemain muda.
“Kelab menyangka ia tindakan bijak untuk memastikan pemain mereka tidak disambar pasukan lain, tetapi pemain berusia 21 atau 22 tahun itu secara tiba-tiba menjadi sangat kaya sekali gus merosakkan pemikiran mereka.
“Anda sudah mendapatkan semua itu (gaji besar), apa lagi yang boleh memotivasikan anda? Pemain tidak sepatutnya berada dalam keadaan selesa, selepas lapan bulan atau setahun, mereka perlu bersaing untuk mendapatkan kontrak baharu. Itu yang membuatkan mereka bersemangat,” katanya. – AGENSI