AMPANG JAYA – Dua penunggang ditahan bersama motosikal masing-masing selepas bertindak menghalang tugas anggota polis ketika melakukan sekatan jalan raya sekitar Jalan Pandan Indah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Ampang Jaya menahan dua penunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dan Suzuki Axelo, pada pukul 11.45 pagi.
“Semasa anggota bertugas menghampiri motosikal jenis Yamaha Y15, tiba-tiba suspek memulas minyak untuk melarikan diri dari sekatan lalu melanggar anggota bertugas menyebabkan suspek telah terbabas ke bahu jalan dan terjatuh.
“Sementara itu, seorang lagi suspek yang menaiki motosikal jenis Suzuki Axelo pula tidak memberi kerjasama untuk membuat pemeriksaan badan serta motosikalnya lalu menghalang penjawat awam dari menjalankan kewajipannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, penahanan dua lelaki tempatan berusia 27 dan 38 tahun mendedahkan kedua-dua buah motosikal terbabit telah tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM).
“Tindakan saman telah dikeluarkan kepada kedua penama manakala suspek dibawa balik ke Balai Polis BSPT Ampang Jaya untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian air kencing yang dijalankan dapati kedua suspek negatif dadah manakala suspek pertama mempunyai 12 rekod lampau dan suspek kedua mempunyai dua rekod lampau.
“Permohonan reman ke atas kedua suspek di Mahkamah Ampang telah dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat ini,” ujarnya.
Menurut Mohd Azam, kes disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam dari menjalankan kewajipannya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika disabit kesalahan.
“Kita ingin memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya memberikan kerjasama kepada pihak polis semasa pemeriksaan dibuat,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE.