fbpx

Dua lelaki separuh sedar terhidu gas phenol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Hazmat melakukan operasi nyah cemar gas phenol yang bocor di sebuah kilang di Lunas, Kulim, Kedah hari ini.

KULIM – Empat lelaki dikejarkan ke Hospital Kulim di sini selepas terhidu gas phenol yang bocor di sebuah kilang penghasilan produk berasaskan plastik di Lunas hari ini.

Dalam kejadian itu, dua mangsa didapati berada dalam keadaan separuh sedar, manakala dua lagi mengadu pening dan loya.

Komander Operasi Kanan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.53 pagi tadi.

“Setibanya di lokasi kita mendapati ada kebocoran bahan kimia iaitu gas phenol. Empat mangsa terhidu gas tersebut.

“Pasukan Hazmat terus melakukan operasi nyah cemar terhadap mangsa dan kawasan sekitar. Operasi berjaya dikawal pada pukul 11.19 pagi,” katanya di sini hari ini.

Jelas beliau, dua mangsa warga tempatan yang separuh sedar dikejarkan ke Hospital Kulim menggunakan ambulans.

“Dua lagi mangsa masing-masing lelaki tempatan dan warga Bangladesh dibawa ke hospital sama oleh jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” ujarnya.

Tambahnya, pasukan Hazmat Kulim Hi-Tech mengesahkan tiada lagi bacaan bahan kimia berbahaya di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI