JAKARTA – Letusan sebuah gunung berapi terpencil di Indonesia memaksa tujuh lapangan terbang berdekatan ditutup dengan debu dilaporkan sampai ke Malaysia, kata pegawai hari ini.
Pihak berkuasa ketika ini bergegas untuk memindahkan beribu-ribu orang berikutan kebimbangan berlakunya tsunami.
Gunung Ruang meletus tiga kali semalam dan memuntahkan lahar serta menghamburkan abu lebih 5 kilometer ke langit.
Ia memaksa pihak berkuasa mengeluarkan arahan pemindahan untuk 12,000 penduduk tempatan.
Sebuah kapal penyelamat dan sebuah kapal perang telah dihantar untuk membantu operasi memindahkan ribuan orang dari Pulau Tagulandang ke Pulau Siau.
Ini berikutan amaran mengenai bahagian gunung berapi yang jatuh ke laut berpotensi menyebabkan tsunami.
Agensi meteorologi negara (BMKG) berkongsi peta pada pagi ini yang menunjukkan abu gunung berapi telah sampai ke timur Malaysia.
Penyebaran abu gunung berapi memaksa tujuh lapangan terbang ditutup, dengan yang terbesar adalah di ibu kota wilayah Sulawesi Utara, Manado dan bandar Gorontalo, demikian menurut notis daripada penyedia kawalan trafik udara milik pemerintah, AirNav Indonesia.
Ketua Pos Pemantauan Gunung Ruang, Julius Ramopolii berkata, gunung berapi itu masih mengeluarkan abu dan asap tebal di atas kawah pada pagi ini.
“Gunung berapi itu kelihatan jelas. Kepulan asap dapat dilihat, kelabu dan tebal serta mencecah 500 hingga 700 meter (2,300 kaki) di atas kawah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tahap amaran dikekalkan pada ‘tahap tertinggi’ daripada sistem empat peringkat.
Pihak berkuasa turut menyeru penduduk tempatan untuk kekal berada di luar zon pengecualian sejauh 7 kilometer. – AFP