fbpx

David Teo hampir mati disihir ahli keluarga terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
David Teo mengalami bermacam-macam kejadian aneh termasuklah sukar tidur malam dan kuat makan gara-gara disihir. - AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Sukar tidur malam, terasa sejuk di tempat panas, hilang semangat kerja dan kuat makan antara simptom yang dialami oleh penerbit Datuk David Teo gara-gara disihir.

Menurut Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG) itu, kejadian tersebut berlaku pada 2018 seminggu selepas bapanya meninggal dunia.

“Seminggu selepas bapa meninggal dunia saya pulang ke rumah dan mula tidak boleh tidur dan darah tinggi juga naik dengan begitu mendadak.

“Saya sangka sakit biasa dan makan ubat hospital tetapi masih tidak baik. Selain itu, saya sering terasa sejuk walaupun berada di tempat yang panas.

“Bayangkan saya pakai baju tebal untuk musim sejuk di tengah terik matahari dan saya tidak rasa panas langsung. Saya juga hilang semangat kerja dan sentiasa fikir mahu mati,” kongsi David.

Bertambah pelik, David seorang yang tidak makan banyak mampu makan nasi dengan kerap sehingga pukul 3 pagi. Bahkan dia juga tiba-tiba menggemari telur separuh masak.

“Saya yang normal tidak suka telur separuh masak, tetapi sejak terkena sihir saya boleh makan sehingga 10 biji telur separuh masak sekali makan,” kata David.

Selepas sebulan mengalami simptom tersebut, David dibawa berubat dengan perubatan Islam selepas perubahan dirinya disedari oleh salah seorang pekerja syarikatnya.

“Ustaz yang merawat kata saya boleh mati jika tidak dirawat dengan segera. Katanya saya disihir dan terkena santau. Lintah dimasukkan ke dalam badan saya untuk buat saya sakit secara perlahan-lahan.

“Selepas dirawat saya kembali sihat dan menjadi diri saya yang normal. Meskipun saya banyak menerbitkan filem seram dan mistik, inilah adalah pengalaman pertama saya hadapi sihir dan santau,” ujar David.

Namun begitu, David sama sekali tidak menyangka ahli keluarga terdekat sanggup ‘menghantar’ sihir disebabkan konflik keluarga.

“Saya ingat orang lain rupanya ahli keluarga sendiri. Patutlah semasa sakit, saya bermimpi ukiran kayu.

“Sebab saudara saya itu memang tinggal dan bekerja di Indonesia sudah lebih 10 tahun. Sekarang selepas saya sihat hubungan kami seperti biasa, tidaklah rapat.

“Cuma saya sudah berjanji untuk tidak mempertikaikan lagi perbuatan dia. Hati saya sudah melepaskan apa yang berlaku,” jelas David.

David berkata demikian ketika ditemui pada majlis Riang Ria Raya filem Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu di sini semalam.

Dalam pada itu, David turut berkata pengalaman peribadinya turut diselitkan dalam filem seram arahan Pierre Andre yang akan menemui penonton pada tahun ini.

Filem Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu, dibintangi oleh Emma Maembong, Alif Hadi, Mawar Rashid, Khatijah Tan, Ruminah Sidek, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Hafizudin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI