SEBERANG PERAI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff terpaksa ditidurkan di Unit Rapi (ICU), Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini akibat komplikasi pada bahagian perut, sejak Isnin lalu.
Jurucakap pejabatnya berkata, keadaan Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Nibong Tebal kini dilaporkan semakin stabil.
“YB (Yang Berhormat) bukan ditidurkan asbab kurang oksigen tetapi diberi ubat pelali bagi mengurangkan kesakitan dan merehatkan beliau yang sedikit lemah.
“Alhamdulillah, hari ini semakin pulih daripada sakit dan perlu banyak berehat. Sama-sama doakan semoga YB cepat sembuh,” katanya di sini, sebentar tadi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 bagi Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Nor Zamri (PN-Pas) memperoleh kemenangan sebanyak 15,433 undian mengalahkan Norhidayah Che Ros (PH-PKR) iaitu 13,870 undian. -KOSMO! ONLINE.