fbpx

1 bilion capaian, Erma Fatima tetap tak mahu sambung Lelaki Itu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Erma tidak bercadang untuk menyambung drama fenomena arahannya, Lelaki Itu untuk musim selanjutnya.

KUALA LUMPUR – Meskipun mendapat jumlah tontonan tinggi, drama rantaian yang menjadi fenomena, Lelaki Itu tidak akan disambung untuk musim kedua.

Menurut penerbit dan penulis skrip Lelaki Itu, Erma Fatima, jalan cerita keseluruhan tentang kehidupan keluarga Syed Mirza lakonan Datuk Adi Putra sudah tamat dan tiada keperluan untuk disambung meskipun mendapat permintaan tinggi.

“Tiada apa yang perlu disambung lagi untuk drama ini. Semua jalan cerita sejak awal hingga episod akhir sudah bernoktah. Lelaki Itu tidak akan disambung sebab kisahnya sudah habis.

“Kalau mahukan musim kedua, saya perlu hasilkan cerita lain. Sejujurnya, saya sangat takut dengan drama ini sebab sangat jalan ceritanya sangat berat.

“Berat kerana mengetengahkan isu agama dan hukum-hakam Islam termasuk mengenai pembahagian harta pusaka atau faraid,” katanya ditemui pada majlis Drama Sangat Close Up X Lelaki Itu baru-baru ini.

Tambahnya, sebab lain dia enggan menyambung drama 30 episod tersebut adalah disebabkan enggan menjejaskan reputasi Lelaki Itu yang sudah berada dalam liganya sendiri.

“Saya tidak akan sambung drama ini walaupun dapat sambutan hebat dan ramai minta. Jalan ceritanya cukup setakat itu sahaja.

“Saya tak mahu turunkan taraf drama Lelaki Itu. Lebih baik saya cabar diri dengan hasilkan drama lain yang lebih hebat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Erma melahirkan rasa syukur dengan sambutan hebat yang diberikan penonton terhadap drama terbitan syarikat produksinya, Rumah Karya Citra sehingga merekodkan capaian 1.13 bilion dalam media sosial.

“Pada awal, stesen TV ragu-ragu untuk terima drama ini kerana disifatkan berat dengan pelbagai isu diketengahkan namun saya terkejut apabila TV3 terima untuk tayangkan drama ini dalam slot Samarinda.

“Tentang kejayaan 1.13 bilion, sebenarnya saya baru tahu. Saya macam tak percaya sebab dapat capai jumlah yang begitu besar.

“Alhamdulillah, perjuangan nombor satu saya untuk terus membuat karya terbaik dengan kerjasama pelakon berkualiti. Saya cuba buktikan drama ini berkualiti walaupun berdepan kerugian,” katanya lagi.

Drama hasil karya Erma serta diarahkan Along Kamaluddin dan Nur Ain Sharif itu dibarisi pelakon handalan seperti Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nur Fazura, Nabila Huda, Hannah Delisha, Aedy Ashraf, Nadia Brian dan Sophia Albarakbah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI