MUNICH – Pengendali Bayern Munich, Thomas Tuchel mengakui hampir menemui ramuan terbaik untuk menyiapkan pasukannya menjelang aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Allianz Arena awal pagi esok.
Menurutnya, beliau akan menyenaraikan pemain yang benar-benar dilihat mampu menyaingi kemampuan bintang Real sekali gus mendapatkan bekalan selesa sebelum ke Santiago Bernabeu pada aksi kedua nanti.
“Kami sudah menyaksikan perlawanan mereka beberapa kali bersama pasukan penganalisis kami. Anda tidak akan menjangka bila mereka akan menjaringkan gol kerana memiliki pemain yang berkualiti dalam melakukan transisi.
“Mereka sentiasa mampu memberikan ancaman dan memiliki keinginan untuk memenangi perlawanan. Itu adalah ‘sifat’ mereka,” kata Tuchel.
Dalam pada itu, penggempur sensasi Bayern, Harry Kane percaya pasukannya sudah bersedia untuk berdepan aksi tersebut selain yakin terhadap kemampuannya untuk terus mendapatkan jaringan.
“Saya sangat berharap mampu melakukannya. Saya berada dalam ‘mood’ yang baik dan sangat yakin. Jika rakan sepasukan mampu terus melakukan umpanan terbaik seperti dilakukan sepanjang musim, saya siap untuk menjalankan tugas menjaringkan gol,” ujarnya.
Seorang lagi pemain Bayern, Leon Goretzka percaya skuadnya tidak berdepan tekanan dan bersedia untuk ‘menyambut’ kehadiran Real untuk perlawanan itu nanti.
“Saya percaya dengan kemampuan pasukan ini. Kami berdepan musim tidak menentang, Liga Juara-Juara adalah peluang terakhir untuk kami memenangi gelaran dan bersedia dengan cabaran ini,” jelasnya. – AGENSI