ALOR SETAR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar menyatakan tidak salah untuk kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berangan-angan untuk mewujudkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Langkawi.
Namun, beliau berharap agar projek itu dapat direalisasikan dan bukan hanya sekadar untuk diumumkan sahaja.
Selain itu, Mahfuz juga meminta Muhammad Sanusi memberi fokus kepada projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) terlebih dahulu kerana keperluannya lebih mendesak.
“Saya rasa tak salah nak berangan tetapi buatlah bagi siap litar lumba selain projek air (LRA) dulu kerana ia keperluan orang nak minum dan mandi. Kalau nak buat LRT dalam keadaan tak mandi jadi satu masalah pula bau busuk dalam LRT nanti.
“Bagi saya tak salah nak angan-angan tetapi orang dapat menilai dia hanya menteri besar bersifat mengumumkan saja nak buat itu ini tetapi satu benda pun tak nampak apa dia berjaya buat.
“Dulu kata nak siap litar lumba, kemudian LRA 2023 pun tak siap dan selepas itu kata lapangan terbang (KXP) penerbangan pertama semua dah atur tapi landasan tak tahu ke mana,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Mahfuz di Jalan Langgar, di sini hari ini.
Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sistem pengangkutan di Langkawi tidak berada dalam keadaan mendesak sehingga memerlukan LRT.
“Langkawi dari hujung ke hujung berapa jauh sangat, biarlah kita beri peluang kepada pengusaha kereta sewa dan usahawan lain di Langkawi untuk cari makan yang mana itu lebih menjadi keutamaan,” ujarnya.
Tambahnya, jika dibandingkan antara Alor Setar dengan Langkawi, beliau merasakan jaringan kemudahan LRT itu lebih sesuai di Alor Setar yang mana ia bukanlah satu keperluan mendesak.
“Jadi saya anggap lebih baik dia menyanyi menghiburkan ulama Pas kerana ia suatu hiburan kepada pemimpin Pas. Nak berzanji atau marhaban mungkin dia tak tahu, jadi dia boleh hiburkan pemimpin, ulama, Presiden Pas dengan nyanyian merdu yang lebih baik daripada dia berangan nak buat LRT kerana ia suatu yang tak masuk akal,” katanya.
Semalam, Muhammad Sanusi menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan syarikat dari Korea Selatan, Royal Eco Train Development (RETD).
MoU itu bagi membolehkan satu kajian terperinci mengenai perkhidmatan LRT yang menggunakan sistem teknologi levitasi magnet (maglev) dan pembangunan berorientasikan transit (TOD) dapat dilakukan di Pulau Langkawi. – KOSMO! ONLINE