KUALA LUMPUR – Pelakon Datuk Adi Putra berharap tidak ada pihak yang sengaja menggunakan kontroversi curang Aliff Aziz dengan beberapa selebriti wanita ketika ini untuk melaga-lagakan penggiat seni dua negara iaitu Malaysia dan Singapura.
Adi, 43, berkata, perkara tersebut harus dielakkan ketika ini kerana risau mencetuskan sentimen ‘kasta’ dalam kalangan penggiat seni dari Singapura yang mencari rezeki di negara ini.
“Kita tak mahu meletakkan sentimen kasta dalam industri perfileman. Sebagai pelakon, saya semestinya tak mahu mencalarkan imej industri hiburan.
“Isu dua negara ini boleh mencetuskan kasta tidak diinginkan. Diharapkan sentimen ini tidak wujud untuk imej negara,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan episod akhir drama Lelaki Itu di sini, malam tadi.
Anak kelahiran Singapura itu turut menggesa penggiat seni untuk mencontohi cara seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee berjaya menyatukan dua negara iaitu Malaysia dan Singapura menerusi karya-karya seninya.
“Kalau imbas semula sejarah atau riwayat bagaimana kehidupan P. Ramlee, beliau bermula di Singapura dan kembali ke Merdeka Studio, sama juga dengan dua negara ini.
“Namun, apabila berpijak di bumi nyata, kita sebenarnya bekerja. Jadi, semuanya terpulang kepada diri sendiri untuk menepis kontroversi iaitu dengan prinsip saling hormat menghormati,” katanya yang tidak kisah bergandingan dengan pelakon yang pernah terpalit kontroversi.
Tambahnya, dia juga dia sudah lali dengan tempias kontroversi artis negara kelahirannya namun, memilih untuk tenang dalam menghadapi perkara itu.
“Tempias itu perkara biasa dan pasti wujud di mana-mana sekalipun.
“Bagaimana nak atasi tempias itu adalah dengan cara masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan,” ujarnya bintang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu.
Pada 9 Mac lalu, nama Aliff hangat diperkatakan selepas dia dan pelakon Ruhainies dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.
Susulan kejadian tersebut, isteri Aliff iaitu aktres Bella Astillah mengambil keputusan memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Mac namun aktor itu enggan menceraikannya.
Isu di antara mereka semakin rumit apabila kekasih gelap Aliff iaitu Sarah Yasmine muncul membuat pelbagai pendedahan menerusi tangkap layar perbualan WhatsApp dipercayai di antara Aliff dan wanita yang dinamakan sebagai NRF iaitu Ruhainies.
Pendedahan itu mencetuskan huru-hara selain turut mengheret nama beberapa selebriti lain seperti Emma Maembong, Chacha Maembong, Caprice, Sophia Albarakbah dan Meerqeen. – KOSMO! ONLINE