PETALING JAYA – Tidak tahan melihat semakin ramai nama artis ‘dipetik’ kekasih Aliff Aziz, pelakon Iqram Dinzly menasihati Sarah Yasmine berhenti menyebarkan aib orang lain.
Iqram atau nama sebenarnya Mohammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 42, berkata, individu yang tiada kena-mengena dalam konflik rumah tangga antara Aliff dan isterinya Bella tidak wajar diheret sama.
“Saya rasa awak kena fokus dengan agenda awak yang utama iaitu mengenai Aliff Aziz sebab dia yang buat hal.
“Dia dah diberi peluang tetapi dia sendiri yang tak hargai. Jadi tak perlu kot nak plot twist cerita pasal Meerqeen, Anna Jobling dan Sophia Albarakbah mahupun sesiapa lagi selepas ini,” katanya dalam Instagram.
Ujar Iqram, situasi tidak sihat yang dicetuskan wanita asal kota singa itu boleh merosakkan hubungan baik antara dua negara iaitu Malaysia dan Singapura.
Malah pelakon filem Evolusi KL Drift itu menyarankan agar sebarang permasalahan dalam perkahwinan dua selebriti terbabit diselesaikan secara baik di mahkamah.
“Soal luar dalam rumah tangga Bella dan juga Aliff biarlah mereka uruskan dan selesaikan di mahkamah.
“Kita langsung tiada hak untuk membongkar segala aib rumah tangga mereka.
“Malah, setelah akad nikah juga mereka sudah berjanji untuk menutup aib sebaik-baiknya kerana itu adalah dosa besar,” katanya.
Perkongsian disuarakan Iqram meraih perhatian ramai bahkan netizen turut bersetuju dengan pandangan tersebut. – KOSMO! ONLINE