PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan 15 cubaan seludup masuk motosikal jenis Yamaha RXZ melalui sempadan Malaysia-Thailand sejak akhir tahun lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM, Ribuan Abdullah berkata, motosikal yang cuba diseludup masuk itu dibaik pulih di Thailand dan dibawa ke negara ini melalui jalan darat dengan menaiki lori dan sampan melalui Sungai Golok.
“Di Thailand, model lama motosikal ini telah dibaik pulih dan ia menjadi rebutan di Malaysia kerana harganya boleh mencecah sehingga RM15,000 seunit.
“Kebanyakan kes penyeludupan motosikal RXZ ini membabitkan peminat-peminat tegar motosikal antik,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ribuan memberitahu, motosikal yang dirampas itu akan dilelong pihaknya pada harga bidaan bermula RM7,000 sebuah.
Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan penganjuran beberapa siri himpunan motosikal jenis Yamaha RXZ mendorong kepada peningkatan aktiviti penyeludupan model berkenaan dari negara jiran. – KOSMO! ONLINE